TAKLIMAT CUACA KEBANGSAAN KALI KETIGA 2018

09 Oct 2018

Isnin, 8hb Oktober 2018 - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian
Perhubungan, telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan buat kali ke-tiga pada hari ini,
berikutan taklimat yang telah diadakan pada Julai 2018 yang lalu. Seramai 103 peserta daripada
pelbagai agensi kerajaan dan swasta, serta orang-orang awam telah hadir mengikuti taklimat yang
diadakan di Auditorium Jabatan Penerangan, di Lapangan Terbang Lama Berakas.

Taklimat Cuaca Kebangsaan adalah merupakan salah satu inisiatif Jabatan dan Kementerian
Perhubungan dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti
kumpulan Tindakan Awal dan Keselamatan (Safety and First Responders), kumpulan Ekonomi dan
Industri, Pembinaan, Syarikat Insurans, Perusahaan Kecil dan Sederhana serta pihak Media Massa.
Buat julung kali pada tahun ini, Jabatan Kajicuaca juga telah menawarkan peluang penyertaan
kepada orang awam dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakan. Taklimat ini bertujuan
untuk memberikan peluang kepada pengguna maklumat cuaca dan iklim yang ada pada masa ini
dan juga yang akan datang, untuk berinteraksi dengan Jabatan Kajicuaca dengan mengajukan
keperluan maklumat dan khidmat masing-masing.

Matlamat utama taklimat ini adalah semata-mata untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan
pelbagai kumpulan pengguna mengenai keadaan cuaca semasa bagi Negara. Selain itu, taklimat ini
juga bertujuan bagi memudahcara kesiap-siagaan masing-masing menghadapi cuaca dan juga
untuk meningkatkan kepekaan mengenai iklim Negara Brunei Darussalam. Sesi khas mengenai
metodologi di sebalik ramalan cuaca juga merupakan sebahagian dari perkara yang dihuraikan di
dalam taklimat pengenalan yang disampaikan oleh Dayang Marzeti binti Haji Mahadi, Pegawai
Kajicuaca. Manakala tumpuan taklimat cuaca kebangsaan adalah berkenaan cuaca, iklim dan
ramalan jangka panjang bagi musim peralihan monsun (bulan Oktober hingga Disember) bagi
Negara Brunei Darussalam yang telah disampaikan oleh Dayang Harnina binti Morani, ahli
meteorologi dari Jabatan Kajicuaca. Antara aktiviti lain adalah promosi dan penjualan buku coffee
table Jabatan bertajuk Nubivagant With Wondrous Scenes of The Abode of Peace, promosi aplikasi
mudah alih Brunei WX, media sosial dan kod amaran cuaca berwarna.