LAWATAN KERJA YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA KE JABATAN KAJICUACA BRUNEI DARUSSALAM

29 Oct 2018

Hari Khamis, 25 Oktober 2018 - Seramai 9 orang Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara telah pun mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) pada pagi tadi di Jabatan Kajicuaca, Kampong Anggerek Desa.

Tujuan lawatan kerja Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara adalah untuk melihat secara lebih dekat lagi sistem-sistem cuaca yang terdapat di Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam sambil untuk mengetahui dengan lebih lanjut fungsi dan peranan Jabatan dalam menyediakan khidmat dan maklumat cuaca sebagai persediaan kepada sesi Muzakarah bersama Kementerian Perhubungan pada 26 November nanti.
Program lawatan dimulakan di Ibu Pejabat, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di Anggerek Desa dimana rombongan telah dibawa melihat peralatan bertapak di Ibu Pejabat, Anggerek Desa iaitu salah satu stesen yang digunakan dalam sistem pencerapan cuaca automatik negara.
Rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara seterusnya dibawa ke Pusat Ramalan Cuaca bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi melihat proses dan kemudahan yang terlibat dalam penyediaan ramalan, nasihat dan amaran cuaca yang diberikan kepada pengguna-pengguna seperti agensi-agensi kerajaan dan orang ramai. Rombongan turut melihat secara langsung bagaimana data dan maklumat cuaca dianalisa oleh Ahli Kajicuaca yang bertugas dalam penyediaan ramalan-ramalan cuaca.

Rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga dibawa melawat ke tapak Doppler Weather Surveillance Radar yang digunakan oleh Jabatan Kajicuaca dalam memantau kejadian, pergerakan dan evolusi sistem cuaca setempat.

Lawatan berakhir di salah satu stesen pemantauan angin yang dipanggil Low Level Wind Shear Alert System (LLWAS), bertempat di kawasan Perindustrian Lambak Kanan. Sistem LLWAS adalah sistem yang memberikan amaran angin ricih (Wind Shear yang merbahaya) kepada pesawat-pesawat terbang yang hendak mendarat atau berlepas dari Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Rombongan berpeluang melihat menara yang dipasangi alatan-alatan untuk mencerap maklumat angin.