TAKLIMAT CUACA KEBANGSAAN KALI KE EMPAT 2018

12 Dec 2018

Isnin, 10hb Disember 2018 - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Perhubungan, telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan buat kali ke empat berikutan taklimat mengenai Monsun Peralihan yang diberikan pada bulan Oktober 2018 yang lalu. Seramai 80 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta orang awam turut hadir mengikuti taklimat tersebut yang diadakan di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan.

Taklimat Cuaca Kebangsaan adalah merupakan salah satu inisiatif Jabatan Kajicuaca dan Kementerian Perhubungan dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti kumpulan Tindakan Awal dan Keselamatan (Safety and First Responders), kumpulan Ekonomi dan Industri, Pembinaan, Syarikat Insurans, Perusahaan Kecil Sederhana serta pihak Media Massa. Setelah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai dalam mengikuti taklimat cuaca yang lalu, Jabatan sekali lagi mengalu-alukan kedatangan orang awam bagi taklimat cuaca kebangsaan kali keempat.

Matlamat utama taklimat ini adalah semata-mata untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna mengenai keadaan cuaca semasa bagi Negara. Selain itu, taklimat ini juga bertujuan bagi memudahcara kesiap-siagaan masing-masing menghadapi cuaca dan seterusnya untuk meningkatkan kepekaan mengenai iklim Negara Brunei Darussalam. Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ini bertumpukan kepada cuaca, iklim dan ramalan jangka panjang sepanjang tempoh Monsun Timur Laut dari bulan Disember 2018 hingga ke bulan Februari 2019 bagi Negara Brunei Darussalam dan telah disampaikan oleh Awang Hassanul Kamal bin Haji Adam, Pegawai Kajicuaca, Ahli Meteorologi dari Jabatan Kajicuaca. Antara aktiviti lain adalah promosi dan penjualan buku coffee table Jabatan bertajuk Nubivagant With Wondrous Scenes of The Abode of Peace, promosi aplikasi mudah alih Brunei WX, media sosial dan kod amaran cuaca berwarna.