Penjelasan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Berikutan Maklumat Tular Mengenai Taufan ’Usman’

31 Dec 2018

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin menjelaskan mengenai maklumat Taufan "Usman" yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa pada masa ini tiada ada sistem taufan yang dikesan di kawasan rantau kita.

Walau bagaimanapun, sistem yang ada pada masa ini hanyalah Lekukan Tropika (Tropical Depression) yang mana dinamakan sebagai Lekukan Tropika Usman oleh Philippines Atmosphheric, Geophysics, Astronomical Services Administration (PAGASA). Lekukan Tropika ini berada dilokasi 11.3 °N 123 °E, iaitu 1400 km dari Negara Brunei Darussalam. Sistem berkenaan dijangka akan memasuki kawasan Laut China Selatan dalam beberapa hari akan datang.

Lekukan Tropika ini dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam secara tidak langsung, menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan sekali-sekala lebat berserta angin kencang yang boleh menyebabkan kejadian banjir atau banjir kilat. Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 40-50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat. Manakala keadaan laut dijangka meningkat sehingga 3.0 m.

Oleh yang demikian, orang ramai, khususnya para pemandu di jalan raya dan nelayan adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, demi menjamin keselamatan semua, terutama semasa keadaan cuaca yang aktif pada masa ini yang menjejaskan Negara.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam terus memantau perkembangan Lekukan Tropika tersebut dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.