Penjelasan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Berikutan Maklumat Tular Mengenai ’supertyphoon’

31 Dec 2018

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin menjelaskan mengenai maklumat ’Super Typhoon’ yang dikeluarkan oleh Utusan Borneo Online yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa pada masa ini tidak ada sistem taufan yang dikesan di kawasan rantau kita. Walau bagaimanapun, sistem yang ada pada masa ini hanyalah sistem Tekanan Rendah (Low Pressure) yang berada dilokasi 8.4 ° N 114.9 °E, iaitu 400 km Utara Negara Brunei Darussalam (pada 4.30 pagi hari ini). Sistem berkenaan dijangka akan bergerak jauh dari Negara kita dan diramalkan menjadi Lekukan Tropika dalam tempoh beberapa jam akan datang.

Sistem Tekanan Rendah tersebut dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam secara tidak langsung, menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan sekali-sekala lebat berserta angin kencang. Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 40-60 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berangin. Manakala keadaan laut dijangka meningkat sehingga 3.0 m.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan Tekanan Rendah tersebut dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.
Orang ramai juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Wallahualam Bissawab.