KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

18 Oct 2015

1. Keadaan Cuaca Semasa
Pada 18hb Oktober 2015, jam 0800 pagi waktu setempat, Taufan KOPPU berada di lokasi 16.0°N 121.4°E, di sebelah Utara Negara Filipina, bergerak menuju Barat dengan kelajuan 15 kmsj berserta angin kencang selaju 166 kmsj. Taufan ini dijangka akan terus bergerak perlahan menuju Barat Laut ke Utara, seperti yang diramalkan oleh Pusat Amaran Taufan Bersama Hawai, USA, dimana dalam garisan titik merah menujukkan kawasan yang dijangka akan terjejas oleh ribut Taufan KOPPU.

2. Jangkaan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca bagi Negara Brunei Darussalam bagi beberapa hari mendatang dijangka sedikit sebanyak akan terjejas disebabkan oleh kesan secara tidak langsung atau kesan “tail-end” dari putaran dan trek Taufan KUPPO yang diramal akan tertumpu di sekitar kawasan Barat Negara Filipina di dalam tempoh beberapa hari yang akan datang. Kejadian hujan berpetir masih dijangka berlaku sekali sekala terutama sehingga waktu awal pagi pada hari Selasa (20hb Oktober 2015). Negara juga dijangka akan kadangkala mengalami keadaan sedikit berangin pada awal minggu depan dan akan beransur-ansur berkurangan menjelang pertengahan minggu apabila taufan tersebut terus bergerak ke arah Barat. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj semasa dan dekat hujan lebat dan berpetir. Keadaan laut dijangka meningkat dari paras Sederhana hingga Bergelora sehingga 2.5 m, terutama di kawasan lepas pantai.

3. Nasihat
Dengan ini, orang ramai, pemandu di jalan raya dan para nelayan adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, terutama semasa berlakunya keadaan cuaca yang aktif, bagi menjamin keselamatan semua. Jabatan juga ingin menasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat-maklumat cauca yang tidak disahkan melalui media-media social yang boleh menyebabkan keadaan resah dan panic kepada orang ramai.
Jabatan ini akan terus memantau perkembangan dan trek Taufan KOPPU dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca apabila perlu mengikut Prosedur Operasi Standard Jabatan. Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai bolehlah menghubungi Pegawai Peramal Kajicauca yang bertugas di Pusat Ramalan, melalui Talian Cuaca 114 atau 2345567, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (Brunei Darussalam Meteorological Department) dan aplikasi bimbit Brunei WX.



Daripada:
Muhamad Husaini bin Aji
Pemangku Pengarah Kajicuaca
Jabatan Kajicauca Negara Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
05 Muharram 1437 / 18hb Oktober 2015