KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

31 Oct 2015

Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Musim Peralihan kedua, dimana aliran angin dari arah Timur terus medominasi di paras permukaan dan paras atas atmosfera. Pada lazimnya aktiviti hujan dan ribut petir meningkat pada Musim Peralihan. Sebahagian besar sistem cuaca Negara kita pada musim ini dikaitkan dengan diurnal forcing, dimana angin laut memainkan peranan penting dalam menghasilkan sel-sel awan ribut petir yang aktif di kawasan pedalaman pada waktu petang, sebelum bergerak ke kawasan pesisiran pantai dan laut Negara pada waktu malam.


Purata turunan hujan jangka panjang bagi tempoh 30 tahun (1979-2008) yang direkodkan di Stesen Pencerapan Kajicuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi bulan November adalah 326.99 mm. Manakala rekod iklim juga menunjukkan peningkatan tren aktiviti kejadian ribut petir bagi bulan tersebut. Oleh yang demikian, orang ramai , para pemandu dan pelaut adalah dinasihatkan supaya akan terus mengambil langkah berjaga-jaga semasa kejadian hujan lebat dan ribut petir, semata-mata untuk menjaga keselamatan dan mengelakkan kejadian yang tidak di ingini berlaku.


Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat atau amaran cuaca apabila situasi memerlukan, mengikut Prosedur Operasi Standard Jabatan. Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai bolehlah menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (Brunei Darussalam Meteorological Department) dan aplikasi bimbit Brunei WX.


Wallahualambissawab.




Daripada:
Aw. Muhamad Husaini bin Aji
Pemangku Pengarah Kajicuaca
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
18 Muharram 1437H, 31 Oktober 2015