JANGKAAN KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMASA MUSIM TIMUR LAUT 2015

26 Nov 2015

Berdasarkan kitaran monsun, Musim Timur Laut dijangka bermula di Negara Brunei Darussalam pada bulan
Disember hingga bulan Mac. Pada lazimnya, semasa Musim tersebut, Negara akan mengalami keadaan cuaca
yang sangat aktif dengan kejadian hujan dan hujan berpetir berintensiti lebat sekali-sekala pada sebelah
petang atau malam, hujan berpanjangan, dan ribut petir pada lewat malam atau awal pagi, terutamanya pada
bulan Disember dan bulanJanuari.

Keadaan cuaca serantau yang berlaku sekarang dan ramalan cuaca bermusim terkini yang dikeluarkan oleh
pusat dunia iklim utama menunjukkan kehadiran El Nino (yang dikaitkan dengan pengurangan aktiviti turunan
hujan) berintensiti kuat di rantau Asia Pasifik dijangka akan berterusan sehingga bulan Januari 2016.
Sehubungan dengan itu, pembentukkan awan hujan dirantau ini diramalkan tidak berapa aktif, dan oleh yang
demikian aktiviti hujan monsoon semasa bulan Disember 2015 hingga Januari 2016 untuk Negara kita juga
diramalkan akan berkurangan daripada kebiasannya.

Mengikut rekod iklim, purata turunan hujan jangka panjang bagi tempoh 30 tahun (1979-2008) yang direkodkan
di Stesen Pencerapan Kajicuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi bulan Disember adalah 354.4 mm
dan bulan Januari adalah 271.1 mm. Pada musim Timur Laut yang lalu, walaupun Episod El Nino yang lemah
berlaku di rantau Asia Pasifik, Negara kita telah mengalami keadaan cuaca yang sangat aktif, dimana jumlah
turunan hujan yang direkodkan bagi bulan Disember 2014 adalah 336.7 mm, dan bagi bulan Januari 2015
adalah 466.6 mm.

Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu dan pelaut adalah dinasihatkan supaya akan terus mengambil
langkah berjaga-jaga terutama semasa kejadian hujan lebat dan ribut petir, semata-mata untuk menjaga
keselamatan dan mengelakkan kejadian yang tidak dingini berlaku. Perlu diingat, risiko kejadian banjir atau
banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, atau kejadian tanah susur maseh boleh berlaku
terutama semasa hujan sederhana hingga lebat berterusan berlaku untuk lebih dua jam. Risiko banjir kilat yang
teruk juga boleh berlaku semasa kejadian hujan berpanjangan bertembung dengan kejadian air pasang. Luruan
angin Timur Laut yang kuat juga boleh meningkatkan ketinggian ombak di Perairan Brunei dari paras
sederhana hingga ke paras bergelora.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat atau amaran
cuaca apabila situasi memerlukan, mengikut Prosedur Operasi Standard Jabatan. Untuk mendapatkan
maklumat cuaca terkini, orang ramai bolehlah menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di
Pusat Ramalan melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti
laman Facebook www.facebook.com/bruneiweather dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Wallahualambissawab.


Daripada:
Muhamad Husaini bin Aji
Pemangku Pengarah Kajicuaca
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan