KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

15 Dec 2015

1. Keadaan Cuaca Semasa
Pada 14hb Disember 2015, jam 2.00 petang waktu setempat, Taufan MELOR berada di lokasi 12.6°N 124.5°E, di sebelah Timur Negara Filipina, bergerak menuju Barat dengan kelajuan 20 kmsj berserta angin kencang selaju 176 kmsj (Rajah 1). Taufan ini dijangka akan terus bergerak melintasi Negara Filipina, seperti yang diramalkan oleh Pusat Amaran Taufan Bersama Hawai, USA, (Rajah 1).

2. Jangkaan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Mengikut maklumat cuaca terkini, intensiti Taufan MELOR dijangka akan berkurangan setelah ia melintasi Negara Filipina pada 15 dan 16 Disember. Menjelang 17 Disember, kekuatan Taufan berkenaan terus diramalkan berkurangan dan menjadi tekanan rendah ketika berada di kawasan Laut China Selatan.
Sehubungan dengan itu, Negara Brunei Darussalam adalah berpotensi untuk mengalami keadaan cuaca yang aktif antara 16 hingga 19 Disember ini, dengan berkemungkinan hujan berserta angin ribut melintas sekali-sekala, dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj, terutama di kawasan laut. Keadaan ombak di Perairan Brunei juga dijangka boleh meningkat dari paras Sederhana hingga Bergelora sehingga 2.5 m, terutama di kawasan lepas pantai.

3. Nasihat
Oleh yang demikian, orang ramai, pemandu di jalan raya dan para nelayan adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, demi menjamin keselamatan semua, terutama semasa keadaan cuaca yang aktif yang berkemungkinan berlaku dalam beberapa hari lagi.
Jabatan ini akan terus memantau perkembangan dan trek Taufan MELOR dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca apabila perlu mengikut Prosedur Operasi Standard Jabatan. Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai bolehlah menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca Brunei, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.



Daripada:
Rokiah binti Haji Angas
Pemangku Pengarah Kajicuaca
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
02 Rabiulawal 1437 / 14 Disember 2015