KEMASKINI KEADAAN CUACA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM (28hb Ogos 2016)

28 Aug 2016

Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di kemuncak musim Barat Daya (bulan Ogos dan September) yang pada kebiasaannya akan mengalami keadaan cuaca yang sedikit berjerebu terutama berpunca daripada asap jerebu rentas sempadan. Hujan berserta angin ribut juga dijangka berlaku sekali-sekala disebabkan kesan tidak langsung tail-end jika berlakunya taufan atau ribut tropika di kawasan Laut Cina Selatan dan Lautan Barat Pasifik.
Menjelang bulan Oktober hingga bulan November, Negara Brunei Darussalam dijangka akan berada dalam musim peralihan, di mana keadaan cuaca Negara selalunya dipengaruhi oleh kesan angin tempatan yang memainkan peranan penting dalam menghasilkan aktiviti ribut petir. Lazimnya ribut petir akan membentuk di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran pantai dan laut pada waktu malam.
Berdasarkan keadaan cuaca serantau yang berlaku pada masa ini dan jangkaan iklim bermusim terkini yang dikeluarkan oleh pusat-pusat iklim utama dunia, keadaan sesuai untuk pembentukan fenomena La Niña diramalkan berlaku di kawasan Lautan Pasifik pada sekitar bulan Ogos hingga Oktober 2016, dengan kira-kira 55-60 peratus kemungkinan fenomena La Niña berlaku sekitar penghujung tahun 2016 dan awal tahun 2017.

Seperti kejadian-kejadian yang lepas, kesan fenomena La Niña yang berintensti kuat kepada Negara Brunei Daruusalam adalah peningkatan turunan hujan yang ketara dan menyebabkan kejadian banjir kilat semasa berlakunya hujan lebat berpanjangan. Memandangkan kemungkinan berlakunya fenomena ini masih di tahap yang rendah, kesannya terhadap corak cuaca di rantau kita pada beberapa bulan mendatang, juga masih rendah. Walaubagaimanapun jumlah turunan hujan pada hujung tahun (November dan Disember 2016) diramalkan sedikit tinggi daripada jumlah purata.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.
Wallahualam Bissawab.

Dikeluarkan oleh:
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicauca Negara Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
25 Zulkaedah 1437 / 28 Ogos 2016
Ruj: WSD/PR/08/2016