KENYATAAN MENGENAI TAUFAN SARIKA

15 Oct 2016

1. Keadaan Cuaca Semasa
Pada 15 Oktober 2016, Taufan SARIKA berada di lokasi 14.3°N 124.4°E, di Timur Negara Filipina, bergerak menuju Barat ke Barat Laut dengan kelajuan 24 kmsj berserta angin kencang selaju 300 kmsj berdekatan pusat Taufan (Rajah 1). Seperti dalam Rajah 2, Taufan ini dijangka akan terus bergerak menuju Barat ke Barat Laut, seperti yang diramalkan oleh Pusat Amaran Taufan Bersama Hawai, USA, dimana dalam garisan merah menunjukkan kawasan yang dijangka akan terjejas oleh ribut Taufan SARIKA.

2. Jangkaan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam bermula hari ini (15hb Oktober) hingga 17hb Oktober dijangka sedikit sebanyak akan terjejas disebabkan oleh kesan secara tidak langsung atau kesan “tail-end” dari putaran dan trek Taufan SARIKA yang diramal akan terus bergerak melintasi Negara Filipina pada lewat malam ini (15hb Oktober) hingga 16 Oktober. Kesan tidak langsung Taufan SARIKA dijangka akan menyebabkan Negara Brunei Darussalam mengalami kejadian hujan dan hujan berpetir sekali-sekala, berserta angin ribut, dengan kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 40 kmsj, terutama di kawasan laut. Keadaan ombak di Perairan Brunei juga dijangka boleh meningkat dari paras Sederhana hingga Bergelora sehingga 2.5 m, terutama di kawasan lepas pantai.

3. Nasihat
Oleh yang demikian, orang ramai, pemandu di jalan raya dan para nelayan adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, demi menjamin keselamatan semua, terutama semasa keadaan cuaca yang aktif yang dijangka akan menjejaskan Negara.
Jabatan ini akan terus memantau perkembangan dan trek Taufan SARIKA dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.
Wallahualam Bissawab.


Daripada:
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
14 Muharam 1438 / 15 Oktober 2016
Ruj: WSD/PR/09/2016