KEMASKINI KEADAAN CUACA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 04 DISEMBER 2016 (MUSIM TIMUR LAUT 2016)

05 Dec 2016

Negara Brunei Darussalam dijangka akan berada dalam Musim Timur Laut bermula sekitar pertengahan Disember 2016 sehingga Mac 2017. Pada semester pertama musim ini (bulan Disember dan Januari), negara lazimnya mengalami keadaan cuaca yang sangat aktif dengan kejadian hujan dan hujan berpetir berintensiti lebat dan berpanjangan terutama pada waktu sebelah malam dan awal pagi.

Berdasarkan keadaan cuaca serantau yang berlaku pada masa ini dan jangkaan iklim bermusim terkini yang dikeluarkan oleh pusat dunia iklim utama, fenomena La-Nina telah terbentuk di kawasan Lautan Pasifik, dan diramalkan (dengan 55% berkemungkinan) beterusan sehingga Februari 2017. Fenomena ini adalah berkaitan dengan peningkatan turunan hujan di rantau Asia Tenggara, termasuk Negara Brunei Darussalam. Walaubagaimanapun jumlah turunan hujan pada bulan Disember 2016 dan Januari 2017 dijangka normal (jumlah purata iklim bagi Disember dan Januari adalah 354 mm dan 271 mm).

Mengikut rekod iklim, bulan Disember dan Januari mempunyai jumlah turunan hujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Oleh yang demikian jabatan ini ingin menasihatkan orang ramai, pengguna jalan raya dan para pelaut untuk sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama semasa berlakunya hujan lebat dan berpetir bagi menjaga keselamatan. Perlu diketahui bahawa risiko kejadian banjir atau banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, atau kejadian tanah susur juga boleh terjadi terutama semasa hujan berintensi sederhana hingga lebat berterusan berlaku untuk lebih dua jam. Risiko banjir kilat yang teruk boleh berlaku jika kejadian hujan lebat berpanjangan bertembung dengan kejadian air pasang. Luruan angin Timur Laut yang kuat juga boleh meningkatkan ketinggian ombak di Perairan Brunei ke Paras Bergelora (melebihi 2.0 m).

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahualam Bissawab.



Dikeluarkan oleh:
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicauca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan