KEMASKINI KEAADAAN CUACA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM - 20 OKTOBER 2017

21 Oct 2017

1. Keaadaan Cuaca Semasa

Pada 20 Oktober 2017 (5.00 pagi waktu setempat), Taufan LAN berada di lokasi 18.3°N 130.0°E, di Timur Negara Filipina, bergerak menuju Utara dengan kelajuan 15 kmsj berserta angin kencang selaju 140 kmsj berdekatan pusat Taufan. Taufan ini dijangka akan terus bergerak ke arah Utara, iaitu semakin menjauhi rantau kita.

2. Jangkaan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam

Kesan sampingan sistem Taufan ini dijangka akan terus mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam bermula hari ini (20hb Oktober 2017) hingga 23hb Oktober 2017 di mana Negara kita akan mengalami keadaan lembap dengan cuaca hujan berintensiti lebat sekali-sekala dan kadangkala berangin kencang, dengan kelajuan boleh meningkat sehingga 50-60 kmsj. Keadaan ombak di Perairan Brunei juga dijangka boleh meningkat dari paras Sederhana hingga Bergelora sehingga 3.0 m.

3. Nasihat

Oleh yang demikian, orang ramai, pemandu di jalan raya dan para nelayan adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, demi menjamin keselamatan semua, terutama semasa keadaan cuaca yang aktif pada masa ini yang menjejaskan Negara.
Kami akan terus memantau perkembangan dan trek Taufan LAN dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.
Wallahualam Bissawab.


Daripada:
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
29 Muharram 1439 / 20 Oktober 2017
Ruj: WSD/PR/08/2017