KEADAAN CUACA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMASA MUSIM TIMUR LAUT 2017

13 Nov 2017

Monsun Timur Laut di Negara Brunei Darussalam dijangka bermula pada bulan Disember 2017 sehingga Mac 2018.
Secara purata pada bulan Disember dan Januari, yang juga dikenali sebagai Musim Tengujuh, aktiviti turunan hujan
adalah sangat aktif dengan kejadian hujan dan hujan berpetir berintensiti lebat sekali-sekala terutama pada waktu
sebelah petang dan malam.

Seperti kejadian-kejadian yang lepas, hujan lebat yang berlaku untuk tempoh lebih dua jam akan mengakibatkan
risiko kejadian banjir atau banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, atau kejadian tanah susur, dan
ianya boleh menjadi lebih teruk apabila bertembung dengan kejadian air pasang. Luruan angin Timur Laut yang kuat
juga boleh meningkatkan ketinggian ombak di Perairan Brunei dari paras sederhana hingga ke paras bergelora.
Oleh yang demikian orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah atau perancangan yang
bersesuaian dalam menghadapi musim tengkujuh nanti serta sentiasa peka dengan amaran dan nasihat cuaca yang
dikeluarkan oleh Jabatan ini untuk meningkatkan keselamatan dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini
berlaku.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca
jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca terkini
dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram
(@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca
yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Wallahualam Bissawab.

Dikeluarkan oleh:
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicauca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
24 Safar 1439/13 November 2017
Ref: WSD/PR/10/2017