KEMASKINI KEADAAN CUACA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM – 15 DISEMBER 2017

15 Dec 2017

Pada 15 Disember 2017 pukul 2.00 petang waktu setempat, Ribut Tropika Kai-Tak berada di Timur Negara Filipina (11.6°N 127.7°E ) dan diramalkan akan bergerak ke arah Barat dan menjejaskan Negara Filipina.
Ribut Tropika Kai-Tak dijangka tidak akan menjejaskan negara kita secara langsung. Walau bagaimanapun, cuaca di negara kita dijangka lembap dengan hujan berintensi lebat sekali-sekala dan angin kencang mencapai sehingga 40 kmsj. Hujan berintensi lebat boleh menyebabkan risiko banjir atau banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan kawasan yang mudah banjir. Disamping itu, ianya boleh menyebabkan keadaan ombak di Perairan Brunei meningkat dari paras Sederhana hingga Bergelora sehingga 3.0m. Kesan sampingan sistem Ribut Tropika Kai-Tak ini dijangka akan bermula pada 16 Disember 2017 hingga 21 Disember 2017.
Orang ramai, pemandu di jalan raya dan juga para pelaut adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah yang sewajarnya demi keselamatan semua, terutamanya semasa keadaan cuaca hujan yang kadang-kala lebat dan keadaan ombak yang Bergelora.
Kami akan terus memantau perkembangan Ribut Tropika Kai-Tak dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Orang ramai bolehlah mengikuti maklumat cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan menggunakan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga boleh menghubungi Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.
Wallahualam Bissawab.


Dikeluarkan oleh:
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
26 Rabiulawal 1439 / 15 Disember 2017
Ruj: WSD/PR/08/2017