KEMASKINI KEADAAN CUACA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM - 23 DISEMBER 2017

23 Dec 2017

Pada 23 Disember 2017 pukul 8.00 pagi waktu tempatan, Ribut Tropika Ganas ‘Tembin’ berada di Laut Sulu (7.7N 120.4E ) dan diramalkan akan bergerak ke arah Barat menuju Laut China Selatan.

Ribut Tropika ‘Tembin’ boleh menyebabkan hujan berpanjangan dan berintensiti lebat sekali sekala. Angin kencang mencapai sehingga 50 kmsj boleh berlaku semasa hujan lebat, dan keadaan ombak bergelora mencapai sehingga 4.0 meter. Keadaan ini mempunyai risiko tinggi menyebabkan banjir atau banjir kilat di kawasan rendah dan mudah banjir, kejadian tanah susur dan pokok tumbang.

Kesan dari sistem Ribut Tropika Ganas ‘Tembin’ ini dijangka akan bermula pada hari ini, 23 Disember 2017 sehingga 26 Disember 2017.

NASIHAT KAMI:

1. Orang ramai terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan rendah yang selalunya terjejas oleh keadaan banjir atau banjir kilat supaya berwaspada dengan risiko tinggi berlakunya banjir atau banjir kilat semasa hujan lebat terutama ketika bertembung dengan keadaan air pasang, dan mengambil langkah awal demi keselamatan semua termasuk keselamatan harta benda;

2. Para pemandu juga dinasihatkan supaya berhati-hati semasa hujan dan keadaan jalan yang licin; dan

3. Para pelaut dinasihatkan supaya berwaspada dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dengan keadaan ombak yang bergelora.

Kami akan terus memantau perkembangan Ribut Tropika Ganas ‘Tembin’ berkenaan dan akan mengemaskini maklumat, nasihat atau amaran cuaca apabila perlu.

Orang ramai disarankan untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca pada masa ini dan bolehlah mendapatkan maklumat, nasihat atau amaran cuaca dan laut terkini dengan memuat turun aplikasi bimbit Brunei WX atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather). Orang ramai juga boleh menghubungi Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.


Wallahualam Bissawab.

Dikeluarkan oleh:
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
05 Rabiulakhir 1439 / 23 Disember 2017
Ruj: WSD/PR/13/2017