KEMASKINI KEADAAN CUACA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 09 JULAI 2018

10 Jul 2018

1. Keadaan Cuaca Semasa

Pada 9 Julai 2018 (8 pagi waktu tempatan), Taufan MARIA berada di lokasi 21.8 °N 133.6 °E, di Barat Lautan Pasifik,
bergerak menuju Barat Laut dengan kelajuan sekitar 30 kmsj berserta angin kencang selaju sekitar 195 kmsj
berdekatan pusat Taufan (Rajah 1). Seperti dalam Rajah 2, Taufan ini dijangka akan terus bergerak ke arah Barat
Laut menuju ke Negeri Taiwan, iaitu semakin menjauhi rantau kita.

2. Jangkaan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam

Sistem Taufan ini dijangka tidak akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam secara langsung.
Namun, terdapat satu sistem tekanan rendah di kawasan Laut Cina Selatan iaitu berdekatan dengan Negara kita.
Sehubungan itu, kita akan mengalami keadaan cuaca sedikit berangin dengan hujan berintensiti lebat sekali-sekala
dan kadangkala berserta angin kencang, terutama di kawasan perairan Negara, dan kelajuan angin sehingga 40-50
kmsj semasa atau dekat hujan. Keadaan ombak di perairan Negara juga dijangka boleh meningkat ke paras
Sederhana sehingga 1.5 m.

3. Nasihat

Oleh yang demikian, orang ramai, pemandu di jalan raya dan para nelayan adalah dinasihatkan supaya mengambil
langkah berjaga-jaga, demi menjamin keselamatan semua, terutama semasa keadaan cuaca yang aktif pada masa
ini yang menjejaskan Negara.
Kami akan terus memantau perkembangan dan trek Taufan MARIA dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan
nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat
keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook
(bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga dapat menghubungi
Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Wallahualam Bissawab.

Daripada:
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
25 Syawal 1439 / 9 Julai 2018
Ruj: WSD/PR/09/2018